Laman Informasi Isu Pendidikan Dan Prinsip Perakaunan

Persamaan Perakaunan

Persamaan Akaun

Tata cara sistem perekodan bagi perakaunan kewangan adalah sebenarnya berasaskan ide yang sangat ringkas iaitu dalam bentuk satu persamaan yang dikenali sebagai persamaan perakaunan. Ia kedengaran agak kompleks tetapi amat senang untuk difahami. Semua urus niaga bagi sesebuah entiti mengambil bentuk akaun apabila direkodkan ke dalam sistem perekodan perakaunan kewangan. Di antara contoh urus niaga adalah seperti menjual, membeli, memberi atau menerima perkhidmatan atau mendapat pinjaman. Kesemua urus niaga ini akan memberi kesan ke atas persamaan perakaunan.

Urus niaga akan direkodkan ke dalam buku-buku akaun dengan menggunakan andaian dan prinsip-prinsip asas seperti yang telah anda pelajari dalam bahagian lain dalam Menu Pembelajaran. Urus niaga ini akan diasingkan mengikut klasifikasi akaun yang telah ditetapkan.

Sebelum kita membincangkan persamaan perakaunan, anda perlu memahami konsep atau andaian entiti berasingan yang telah dibincangkan dalam bahagian yang terdahulu. Persamaan perakaunan adalah terhasil daripada andaian itu. Sebagai ulangan, mengikut andaian entiti berasingan, perniagaan dianggap terasing dan terpisah daripada pemilik dan pihak luar lain.

Setiap perniagaan mempunyai aset yang disumbangkan oleh pelbagai pihak iaitu pemilik dan pihak bukan pemilik. Bagi perniagaan milik peniaga tunggal, pada permulaan perniagaan, aset perniagaan biasanya akan disumbangkan oleh pemilik melalui pelaburan modal ke dalam perniagaannya sendiri. Modal yang disumbangkannya itu boleh dalam bentuk tunai atau aset lain yang akan menjadi hak kepada perniagaan. Jika situasi ini dilihat dari aspek lain, hak atau sumber yang ada dalam perniagaan tadi terjadi atau datangnya dari punca tertentu, dalam contoh ini, dari pemilik. Andaikan pada permulaan sesebuah perniagaan pemiliknya membekalkan semua sumber perniagaan. Ini dapat ditunjukkan seperti berikut :

Tunai atau sumber dalam perniagaan menjadi hak perniagaan atau dipanggil aset perniagaan. Seperti yang anda telah pelajari, punca dalam bentuk modal dari pemilik dinamakan ekuiti pemilik. Ini bermakna untuk persamaan di atas, bila pemilik membekalkan semua sumber, ia boleh ditunjukkan seperti berikut :

Sumber dalam perniagaan = Punca dari pemilik

Bagaimanapun, biasanya sumber atau aset perniagaan boleh datang daripada punca selain daripada pemilik, umpamanya orang lain seperti pihak bank dan pembekal. Ini bermakna pihak luaran ini juga mempunyai hak atau ekuiti ke atas sebahagian daripada aset perniagaan. Seperti yang anda juga sudah maklum, hak atau ekuiti pihak luar ke atas sumber perniagaan dinamakan liabiliti. Dalam situasi di mana sumber perniagaan berpunca daripada ekuiti pemilik dan liabiliti, persamaan perakaunan perlulah menggambarkan situasi ini. Justeru itu, persamaan bertukar menjadi;

Aset (tunai/bangunan/lain-lain) = Ekuiti Pemilik

Maksud aset, liabiliti dan ekuiti pemilik telah diberikan dalam bahagian terdahulu. Secara ringkas, aset adalah item yang dimiliki oleh entiti dan boleh memberikan perkhidmatan atau manfaat di masa hadapan. Liabiliti ialah tuntutan atau hak ke atas aset entiti perniagaan daripada pihak di luar entiti tersebut dan ekuiti pemilik adalah merupakan tuntutan atau hak pemilik ke atas aset perniagaan yang dimilikinya. Ekuiti pemilik mencerminkan jumlah kepentingan pemilik dalam perniagaan.

Persamaan perakaunan dalam bentuk di atas adalah untuk semua jenis perniagaan tidak kira milikan tunggal, perkongsian atau syarikat. Persamaan perakaunan sebenarnya menggambarkan pertalian di antara jumlah aset, liabiliti dan ekuiti pemilik sesebuah entiti perniagaan pada satu tarikh tertentu. Konsep persamaan perakaunan merumuskan bahawa pada bila-bila masa aset adalah bersamaan dengan ekuiti. Ekuiti pula boleh dibahagikan kepada ekuiti luar (liabiliti) dan ekuiti pemilik. Jumlah ekuiti pemilik boleh bertambah jika pemilik menambahkan jumlah modal atau berkurangan jika pemilik mengeluarkan modal. Pengeluaran ekuiti pemilik dipanggil ambilan. Ambilan bagi syarikat adalah dalam bentuk dividen.

Oleh kerana ekuiti pemilik juga akan bertambah sekiranya perniagaan mendapat untung dan boleh berkurang sekiranya perniagaan mendapat rugi, persamaan perakaunan juga boleh dinyatakan seperti berikut:

Aset = Liabiliti + Ekuiti Pemilik +/- Untung/Rugi

Untung atau rugi dikira dengan menggunakan formula:
Untung/rugi = Hasil -Belanja

Persamaan perakaunan jika dikembangkan akan menjadi:

Aset = Liabiliti + Ekuiti Pemilik + Hasil – Belanja

Kesan urus niaga ke atas persamaan perakaunan
Sebelum kita membincangkan kesan urus niaga ke atas persamaan perakaunan, anda perlu terlebih dahulu faham apa itu urus niaga. Urus niaga adalah peristiwa kewangan yang mempengaruhi unsur-unsur atau komponen yang terdapat dalam persamaan perakaunan dan juga kedudukan kewangan sesebuah perniagaan. Setiap urus niaga mesti dianalisis untuk mengkaji kesannya ke atas aset, liabiliti dan ekuiti pemilik perniagaan. Setiap urus niaga akan menyebabkan sekurang-kurangnya dua item berubah. Sebagai panduan anda boleh menggunakan langkah di bawah untuk melihat kesan urus niaga terhadap sesuatu persamaan perakaunan. Contoh juga ada disertakan sebagai penjelasan kepada langkah tersebut.

Langkah

Aktiviti

1

Perhatikan dan fikir mengenai urus niaga

2

Tentukan akaun, pengelasan akaun dan kesannya ke atas persamaan perakaunan

3

Periksa persamaan perakaunan untuk imbangan. Jika tidak seimbang, kesilapan mungkin berlaku pada langkah 1 dan 2

Contoh 1 : Kemasukan/pertambahan modal
Pada 2 Januari 200X, Kee Lin, seorang yang bersemangat keusahawanan memulakan perniagaan mencuci pakaian dengan menyumbangkan wang tunai ke dalam perniagaan sebanyak RM100,000.

Untuk memulakan pengenalpastian kesan urus niaga ini ke atas persamaan perakaunan, kita cuba ikuti langkah di atas. Anda tentu sedia maklum bahawa dari segi disiplin perakaunan, Kee Lin dan perniagaannya adalah dua entiti yang berbeza. Justeru itu, kita tidak boleh mencampuradukkan wang peribadi dengan wang yang dicarum ke dalam perniagaan.

Dengan caruman Kee Lin, sejumlah wang tunai sebanyak RM100,000 telah wujud di dalam perniagaan mencuci pakaian dan wang tunai tersebut menjadi aset kepada perniagaan itu. Sementara itu, Kee Lin sebagai pemilik mempunyai tuntutan dalam bentuk modal terhadap tunai tersebut sebanyak RM100,000 juga. Dengan ini, kesan terhadap persamaan perakaunan ialah:

Aset dalam bentuk tunai, bertambah; ekuiti pemilik dalam bentuk modal bertambah seperti berikut:

ASET

=

LIABILITI

+

EKUITI PEMILIK

Asal

-

-

-

Menjadi

Tunai 100,000

-

Modal 100,000

Contoh 2 : Pembelian Aset
Untuk memulakan operasi perniagaan, Kee Lin memerlukan beberapa buah mesin basuh untuk kegunaan industri. Oleh kerana perniagaannya mempunyai tunai yang tidak mencukupi, Kee Lin mengambil keputusan membeli tiga buah mesin basuh industri(RM30,000 seunit) dan sebuah mesin pengering berharga RM40,000 dengan membayar tunai sebanyak RM40,000 dan selebihnya secara hutang dari Lusoh Mesin Bhd. Pembelian mesin tersebut jika ditunjukkan dalam persamaan perakaunan mempunyai kesan:

Aset dalam bentuk Mesin, bertambah; aset dalam bentuk Tunai, berkurang; dan liabiliti dalam bentuk pinjaman daripada Lusoh Mesin Bhd bertambah.

ASET

=

LIABILITI

+

EKUITI PEMILIK

Asal

Tunai 100,000

-

Modal 100,000

Perubahan

+ Mesin
130,000
Tunai 40,000

+ Lusoh Mesin
Bhd 90,000

Menjadi

Tunai 60,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 90,000

Modal 100,000

Contoh 3 : Pengurangan modal
Tidak lama kemudian, Kee Lin memerlukan wang tunai untuk tujuan peribadi. Kee Lin mengambil tunai dari perniagaannya sebanyak RM10,000. Dengan mengambil tunai untuk kegunaan peribadi, Kee Lin bukan sahaja telah mengurangkan aset tunai perniagaan, ia juga telah menarik balik RM10,000 daripada modalnya. Seperti yang diterangkan dalam bahagian terdahulu, pengeluaran modal ini dikatakan ambilan. Pendek kata setiap kali Kee Lin mengeluarkan aset perniagaan (tunai atau bukan tunai) untuk kegunaan peribadi, beliau dikatakan melakukan ambilan, maka ekuiti pemilik akan berkurangan. Urus niaga ambilan tadi memberi kesan kepada persamaan perakaunan seperti berikut:

Aset dalam bentuk tunai berkurang, ekuiti pemilik dalam bentuk modal juga berkurang.

ASET

=

LIABILITI

+

EKUITI PEMILIK

Asal

Tunai 60,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 90,000

Modal 100,000

Perubahan

- Tunai 10,000

- Modal 10,000

Menjadi

Tunai 50,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 90,000

Modal 90,000

Peringatan:

Sebaik-baiknya seorang pemilik tidak membuat sebarang ambilan selagi perniagaan belum mendapat untung. Ini adalah kerana jika ambilan terus dibuat dalam keadaan di mana untung belum dibuat, ambilan ini akan menjejaskan jumlah modal asal. Jika amalan ini berlarutan, modal perniagaan akan berkurangan. Dengan berkurangnya modal, aset perniagaan akan pupus dan lama kelamaan perniagaan terpaksa menutup operasi kerana perniagaan yang tidak mempunyai sumber yang mencukupi akan menghadapi masalah.

Contoh 4 : Pertambahan Pinjaman
Oleh kerana Kee Lin berpendapat bahawa perniagaannya mungkin boleh berkembang maju kerana lokasi yang sesuai dan pelanggan yang ramai, beliau telah mengambil keputusan membuat pinjaman dari Bank Makmur untuk membesarkan lagi perniagaannya. Pinjaman tersebut bernilai RM200,000 dan beliau diberikan cek. Kesan urus niaga ini ialah:

Aset dalam bentuk tunai di bank bertambah; liabiliti dalam bentuk pinjaman bank bertambah seperti berikut:

ASET

=

LIABILITI

+

EKUITI PEMILIK

Asal

Tunai 50,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 90,000

Modal 90,000

Perubahan

+ Tunai 200,000

+ Bank Makmur
200,000

Menjadi

Tunai 250,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 90,000
Bank Makmur
200,000

Modal 90,000

Contoh 5 : Pembayaran Pinjaman
Kee Lin membayar sebahagian hutangnya kepada pembekal mesin basuh. Wang tunai sebanyak RM50,000 telah digunakan untuk membayar hutang itu. Ini mengakibatkan aset tunai sebanyak RM50,000 berkurangan. Sementara itu, sebahagian liabiliti (hutang) perniagaan juga telah dikurangkan. Kesan urus niaga ini ialah seperti berikut:

Aset dalam bentuk tunai di bank berkurang; liabiliti dalam bentuk pinjaman dari Lusoh Mesin Bhd berkurang menjadi:

ASET

=

LIABILITI

+

EKUITI PEMILIK

Asal

Tunai 250,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 90,000
Bank Makmur
200,000

Modal 90,000

Perubahan

- Tunai 50,000

- Lusoh Mesin
50,000

Menjadi

Tunai 200,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 40,000
Bank Makmur
200,000

Modal 90,000

Contoh 6 : Pertambahan Hasil
Lili Catering telah menghantar alas-alas meja dan napkin makan untuk dicuci.
Kee Lin mengenakan bayaran untuk kerja-kerja membasuh dan menggosok sebanyak RM10,000. Setelah kerja-kerja tersebut siap, tunai diterima. Kesan urus niaga ini terhadap persamaan perakaunan adalah seperti berikut:

Aset dalam bentuk tunai bertambah; ekuiti pemilik bertambah kerana hasil bertambah

ASET

=

LIABILITI

+

EKUITI PEMILIK

Asal

Tunai 200,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 40,000
Bank Makmur
200,000

Modal 90,000

Perubahan

+ Tunai 10,000

+ Hasil 10,000

Menjadi

Tunai 210,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 40,000
Bank Makmur
200,000

Modal 90,000
Untung/pendapatan
tertahan 10,000

Contoh 7 : Perniagaan membuat perbelanjaan
Bagi perkhidmatan cucian dalam Contoh 6 di atas, Perniagaan Mencuci Pakaian Kee Lin telah menggunakan bahan cucian dan pelembut bernilai RM1,500 yang dibekalkan secara kredit oleh Pembekal Sop. Kee Lin juga telah menerima bil telefon daripada Time Telekom Bhd sebanyak RM200 dan elektrik dari Tenaga Nasional sebanyak RM300 bagi tempoh perniagaannya beroperasi. Bil telefon telah dibayar manakala elektrik belum. Kesan urus niaga ini ke atas persamaan perakaunan ialah:

Liabiliti bertambah; ekuiti pemilik berkurang kerana belanja bertambah.

ASET

=

LIABILITI

+

EKUITI PEMILIK

Asal

Tunai 210,000
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 40,000
Bank Makmur
200,000

Modal 90,000
Untung/pendapatan
tertahan 10,000

Perubahan

- Tunai 200

+ Pembekal
Sop 1,500
+Elektrik
belum bayar
300

+ Belanja Bahan
Mencuci 1,500
+ Belanja Telefon 200
+ Belanja Elektrik 300

Menjadi

Tunai 209,800
Mesin 130,000

Lusoh Mesin
Bhd 40,000
Bank Makmur
200,000
+ Pemiutang
Sop 1,500
+ Elektrik belum
bayar 300

Modal 90,000
Unting/pendapatan
tertahan 8,000

Peraturan simpan kira mengikut jenis akaun

Sebelum diterangkan peraturan simpan kira mengikut sistem catatan beregu, anda perlu memahami dahulu istilah debit dan kredit. Ini adalah kerana perkataan debit dan kredit merupakan istilah penting yang digunakan dalam peraturan simpan kira. Debit sebenarnya bermaksud sebelah kiri akaun manakala kredit pula di sebelah kanan akaun. Bentuk akaun mengikut format T berikut diberikan untuk menunjukkan debit dan kredit.

Namun, akaun boleh disediakan dalam bentuk lain umpamanya seperti di bawah:

Mengikut sistem catatan beregu, setiap urus niaga perlu direkodkan dalam dua catatan. Apabila catatan dibuat di sebelah kiri akaun, perbuatan itu dikatakan mendebit akaun. Sebaliknya, apabila catatan dibuat di sebelah kanan akaun, perbuatan itu dikatakan mengkredit akaun. Bagi setiap urus niaga catatan sebelah debit adalah bersamaan catatan sebelah kredit. Catatan debit dan kredit sentiasa melibatkan sekurang-kurangnya dua akaun. Namun akaun yang terlibat boleh dari pengelasan atau jenis yang sama. Contohnya apabila perniagaan memasukkan tunai ke dalam bank. Akaun Tunai di tangan berkurangan manakala akaun Bank pula bertambah. Kedua-dua akaun in adalah dari jenis aset.

Bagaimanakah anda boleh tahu sama ada akaun Tunai perlu didebitkan atau dikreditkan dalam urus niaga di atas? Bagaimana pula kedudukannya dengan akaun Bank?

Sebenar untuk mengetahui sama ada sesuatu catatan merupakan catatan debit atau kredit, anda perlu berpandu kepada jenis akaun tersebut iaitu sama ada dari jenis aset, liabiliti, ekuiti pemilik, hasil ataupun belanja. Bagi setiap jenis akaun, terdapat peraturan khas yang menentukan sama ada catatan itu merupakan catatan debit atau kredit.

Peraturan simpan kira yang perlu diamalkan diberikan dalam jadual di bawah.

Jadual: Peraturan perekodan mengikut jenis akaun

Jenis Akaun

Penambahan

Pengurangan

ASET

Debit

Kredit

LIABILITI

Kredit

Debit

EKUITI PEMILIK

Kredit

Debit

HASIL

Kredit

Debit

BELANJA

Debit

Kredit

Perhatikan bahawa bagi akaun aset dan belanja, sebarang penambahan di kedua-dua akaun itu memerlukan catatan debit dan sebarang pengurangan, catatan kredit. Peraturan simpan kira untuk liabiliti, hasil dan ekuiti pemilik adalah berlawanan .

Untuk memudahkan penggunaan peraturan simpan kira, langkah-langkah berikut boleh digunakan semasa menganalisis sesuatu urus niaga yang perlu direkodkan:

  • Mengenal pasti akaun dan jenis kumpulan akaun yang terlibat dalam urus niaga berkenaan
  • Menentukan kesan urus niaga tersebut ke atas baki akaun yang telah dikenal pasti, iaitu sama ada baki akaun akan bertambah atau berkurang
  • Membuat catatan di sebelah debit atau kredit berdasarkan peraturan yang diberikan dalam Jadual di atas

Peraturan di atas perlu digunakan sewaktu anda menyediakan catatan jurnal dan pemindahan ke lejar. Lihat Jurnal dan Lejar dalam Modul Penyediaan Penyata dan Rekod Kewangan, Menu Pembelajaran.

About these ads

Comments on: "Persamaan Perakaunan" (3)

  1. thanks!!!banyak membantu

  2. nurlayli87 said:

    terima kasih kerana memberi note berguna,saya xpernah belajar prinsip perakaunan sblm ini.skrang saya berminat.saya nak tanya,bgaimana saya nak tambah kemahiran saya dan boleh digunakan dlm pekerjaan?jika saya ingin menyambung belajar,perlukah saya mengambil sijil SPM telebih dahulu atau saya boleh mengambil sijil kemahiran di universiti?

  3. terima kasih. sudah paham sedikit.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 25 other followers

%d bloggers like this: