Laman Informasi Isu Pendidikan Dan Prinsip Perakaunan

Klasifikasi Akaun

Klasifikasi Akaun

Dalam perakaunan, semua jenis akaun boleh dikategorikan ke dalam 5 kumpulan utama iaitu:

  • Aset
  • Liabiliti
  • Ekuiti Pemilik
  • Hasil dan
  • Belanja

Aset
Aset adalah sumber-sumber ekonomi yang dimiliki atau di bawah kawalan sesebuah entiti sama ada ia telah dibayar atau tidak. Aset adalah sesuatu yang digunakan untuk membantu dalam menjalankan operasi perniagaan.
Aset terbahagi kepada dua kumpulan iaitu aset semasa dan bukan semasa.

Aset Semasa
Aset semasa adalah aset yang wujud untuk satu tempoh perakaunan dan mudah cair. Contoh aset semasa ialah tunai, penghutang, stok barang niaga, belanja pra bayar dan hasil belum terima.

Aset Bukan Semasa
Aset bukan semasa pula adalah aset lain yang tidak dikategorikan sebagai aset semasa. Aset bukan semasa terdiri daripada aset tetap dan pelaburan. Aset tetap adalah aset yang wujud lebih daripada satu tempoh kewangan, digunakan untuk membantu melaksanakan operasi perniagaan dan tidak mudah berubah bentuknya.

Aset tetap terbahagi kepada dua iaitu aset nyata atau ketara dan aset tak nyata atau tak ketara. Aset ketara adalah aset yang dapat dilihat secara fizikal seperti mesin, kereta dan peralatan manakala aset tak ketara pula merupakan aset tetap yang wujud tetapi tidak dapat dilihat secara fizikal seperti ihsan, paten, hak cipta dan tanda dagangan.

Pelaburan pula merupakan kategori aset bukan semasa yang merupakan aktiviti kewangan jangka panjang perniagaan. Ia mungkin tiada kaitan dengan aktiviti operasi biasa perniagaan. Pelaburan dibuat untuk membantu mengukuhkan kedudukan kewangan.

Liabiliti
Liabiliti merupakan tanggungan atau hutang entiti kepada pihak luar perniagaan. Liabiliti boleh dilihat sebagai hak pihak luar ke atas sumber atau aset perniagaan. Liabiliti terbahagi kepada dua kumpulan iaitu liabiliti semasa dan liabiliti jangka panjang dan tertunggak.

Liabiliti semasa
Liabiliti semasa adalah liabiliti yang wujud untuk satu tempoh perakaunan dan peminjam harus melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh satu tahun perakaunan. Contoh liabiliti semasa ialah akaun belum bayar, pemiutang, nota belum bayar, pinjaman jangka pendek, overdraf bank dan lain-lain.

Liabiliti Jangka Panjang dan tertunggak
Liabiliti jangka panjang dan tertunggak adalah tanggungan atau hutang yang perlu dijelaskan dalam tempoh yang melebihi satu tahun. Contoh liabiliti jangka panjang dan tertunggak ialah pinjaman jangka panjang, nota belum bayar serta cukai yang tertunggak.

Ekuiti Pemilik
Ekuiti pemilik yang dimaksudkan adalah hak atau tuntutan terhadap aset perniagaan oleh pemilik perniagaan. Ekuiti pemilik merupakan jumlah pelaburan pemilik ke dalam perniagaan. Jumlah pelaburan ini adalah dalam bentuk sumber tertentu atau dikenali sebagai aset. Oleh itu bagi perniagaan yang tiada liabiliti, nilai ekuiti pemilik adalah bersamaan dengan nilai aset. Dalam bahagian terdahulu anda juga telah dimaklumkan bahawa sesebuah perniagaan mempunyai liabiliti jika perniagaan tersebut berhutang dengan pihak luar selain daripada pemilik. Liabiliti merupakan hak pihak luar ke atas sumber perniagaan. Justeru itu, bagi perniagaan yang mempunyai liabiliti, jumlah atau nilai ekuiti pemilik adalah lebihan perbezaan antara jumlah aset dengan jumlah liabiliti.

Ekuiti pemilik bagi setiap struktur pemilikan perniagaan adalah berlainan di mana:

  • Bagi syarikat, ekuiti pemilik terdiri daripada modal berbayar, premium saham, perolehan tertahan dan rizab (lebihan terasing)
  • Bagi perkongsian, ekuiti pemilik terdiri daripada jumlah keseluruhan akaun modal semua rakan kongsi
  • Bagi perniagaan milikan tunggal pula, ekuiti pemilik terdiri daripada akaun modal yang disumbangkan oleh pemilik seorang sahaja.

Ekuiti pemilik boleh dibahagikan kepada dua jenis bergantung kepada cara diwujudkan. Ekuiti pemilik boleh berasal daripada aktiviti pembiayaan seperti modal ataupun daripada hasil pendapatan. Ekuiti dari kategori pertama dikenali sebagai rizab modal dan kategori kedua, rizab hasil. Semua ambilan oleh pemilik sepatutnya ditolak daripada rizab hasil. Aktiviti menilai semula aset perniagaan akan mengakibatkan penambahan atau pengurangan ekuiti pemilik atau lebih tepat, rizab penilaian semula iaitu sejenis rizab modal.

Hasil
Hasil merupakan tunai yang diterima atau bakal diterima daripada urus niaga yang dilakukan. Hasil daripada urus niaga penjualan barang/perkhidmatan oleh perniagaan kepada pelanggan akan mengakibatkan kenaikan nilai aset. Hasil merangkumi aktiviti biasa yang utama atau aktiviti sampingan. Contoh hasil ialah jualan, faedah dan sewa.

Urus niaga hasil boleh dipecahkan kepada kumpulan yang lebih kecil umpamanya hasil utama perniagaan, hasil operasi/kendalian lain, pendapatan pelaburan, hasil luar biasa dan sebagainya. Contoh beberapa kumpulan kecil pecahan hasil boleh dilihat dalam senarai kumpulan akaun program ASSET.

Belanja
Belanja pula merupakan kos perkhidmatan atau barang yang digunakan dalam proses menjanakan hasil atau menyokong aktiviti perniagaan.
Urus niaga jenis belanja mengakibatkan bayaran tunai atau bakal dibayar. Contoh belanja ialah sewa, faedah, elektrik, air dan gaji. Terdapat juga belanja yang merupakan sebahagian daripada kos aset tetap yang perlu dihapus kira dalam setiap tempoh perakaunan. Belanja susut nilai merupakan contoh belanja jenis ini di mana bahagian aset yang dianggap digunakan dalam menjanakan hasil dalam sesuatu tempoh diagihkan sebagai kos dalam tempoh tersebut. Proses pengagihan kos (cost allocation) tersebut menepati prinsip pemadanan.

Dalam penyediaan penyata pendapatan, belanja selalunya dibahagikan kepada kumpulan yang lebih kecil. Antara kumpulan kecil ini ialah kumpulan kos kewangan, perbelanjaan am dan pentadbiran, perbelanjaan jualan dan pengedaran, perbelanjaan operasi/kendalian lain, perbelanjaan luar biasa dan sebagainya. Setiap belanja patut dikelaskan mengikut pengelasan yang sesuai. Belanja sewa, elektrik, air dan gaji umpamanya, agak sesuai dikelaskan sebagai perbelanjaan am dan pentadbiran.

Jika anda laksanakan tugasan menyediakan rekod perakaunan bagi sekurang-kurangnya satu tempoh menggunakan perisian ASSET, anda juga akan mendapati kategori belanja kos barang dijual. Disebabkan sistem perekodan yang diamalkan ialah sistem perekodan berkala, belanja kos barang dijual dibahagikan kepada kumpulan kecil lain iaitu belanja kos barang dijual: stok awal; kos barang dijual: belian; dan kos barang dijual: stok akhir. Untuk memahami kenapa ini terjadi, anda boleh merujuk kepada bahagian Sistem Perekodan Stok/Inventori dan Kesannya ke atas Penyata Pendapatan. Pada tahap ini, anda hanya perlu maklum bahawa sekiranya anda menggunakan sistem merekod stok atau inventori menggunakan sistem perekodan berkala, belanja kos barang dijual tidak perlu dipecahkan kepada kategori yang lebih terperinci.

Peringatan:

Sekiranya terdapat urus niaga yang tidak memenuhi ciri mana-mana 5 jenis akaun yang telah ditetapkan, tetapi mempunyai kesan ke atas mana-mana akaun tersebut, urus niaga itu sepatutnya diletakkan ke dalam kelas akaun di mana kesannya akan berlawanan dengan akaun tersebut. Contohnya, akaun Peruntukan Hutang Ragu yang sememangnya tidak memenuhi ciri mana-mana 5 jenis akaun yang telah ditetapkan. Dalam kes ini, memandangkan akaun Peruntukan Hutang Ragu mengurangkan nilai aset, akaun ini dianggap sebagai akaun Kontra atau “Berlawanan” aset.

Comments on: "Klasifikasi Akaun" (1)

  1. yeessssssssss,saya berharap agar tuan tulis dapat berkongsi lebih banyak lagi tentang aset x ketara ini tq…………

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: