Laman Informasi Isu Pendidikan Dan Prinsip Perakaunan

Saya tidak pernah bersetuju dengan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimulakan pada tahun 2003. Pada saya, ia membunuh keupayaan anak-anak, khususnya anak-anak Melayu untuk menguasai ilmu sains dan matematik.

Kalangan saudara-mara, sahabat handai saya bukan sedikit yang berkerjaya sebagai guru. Dan mereka akui, bahawa penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar masih lemah untuk kita memahatkan Bahasa Inggeris sebagai pengantar sains dan matematik. Apa yang mengejutkan, masalah ini tidak sekadar berlaku di luar bandar atau kawasan pedalaman, sebaliknya turut berlaku di kalangan pelajar-pelajar di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Kata mereka, kadang-kala mereka cukup simpati melihat anak-anak bangsa terkial-kial memahami frasa yang sedia pelik dalam subjek matematik dan sains melalui bahasa Inggeris. Akhirnya, terpaksa juga diajar di dalam Bahasa Melayu, kerana yang paling penting ialah pelajar perlu semakin faham, bukan semakin bebal.

Justeru apabila Menteri Pelajaran dengan gah berkata bahawa PPSMI Tidak Gagal, maka saya tercari-cari ke manakah hala tuju anak bangsa di dalam sistem pendidikan negara.

Ukuran peningkatan prestasi pelajar-pelajar di dalam keputusan UPSR baru-baru ini juga tidak wajar dijadikan ukuran mutlak.

Benar, mungkin ada peningkatan keputusan. Tetapi saya mahu Kementerian Pelajaran mendedahkan kepada umum, berapakah markah minimum untuk lulus bagi kedua-dua subjek ini. Apakah 10%, 18%,20% ataupun 30% sudah cukup untuk lulus.

Dahulu, sewaktu saya di sekolah menengah, Matematik Tambahan adalah subjek yang paling menyakitkan jiwa. Mendapat 30% sudah dikirakan satu rahmat besar walaupun masih gagal. Dan ada pendedahan yang dibuat kalangan guru bahawa ‘kebiasaannya’ markah lulus untuk Matematik Tambahan ini ialah 20%. Maknanya 20% sudah cukup untuk dapat gred 7D, gred paling akhir untuk lulus. Saya tidak tahu akan kebenaran fakta ini, sebab itu saya kira penjelasan wajar diberi oleh pihak berwajib.

Bayangkan, itu dalam Bahasa Melayu. Bagaimana kalau dalam Bahasa Inggeris? Mungkinkah 15%, 10%, atau berkebarangkaliankah 5% sudah cukup untuk lulus??

Itu baru satu subjek. Bagaimana dengan Fizik, Kimia, Biologi, dan lain-lain?

Menteri juga dilaporkan berkata:

Mengulas perkara itu, Hishammuddin berkata pada UPSR lalu, 57 peratus calon telah menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris dan ia membuktikan calon juga selesa untuk menggunakan bahasa tersebut dan ia merupakan satu kebanggaan kementerian.

Setelah 5 tahun dilaksanakan, hanya 57% sahaja yang menjawab dalam Bahasa Inggeris? Pada saya, kalau benar ia ‘tidak gagal’, sewajarnya 70% ke atas memilih untuk menjawab dalam Bahasa Inggeris.

Baik. 57% menjawab dalam Bahasa Inggeris, dianggarkan 43% menjawab dalam Bahasa Melayu. Kita andaikan ini sifirnya.

Saya mahu Kementerian Pelajaran sekali lagi mengeluarkan statistik, berapa ramai yang menjawab dalam Bahasa Inggeris itu lulus dan dapat Gred A, berapa ramai pula yang menjawab dalam Bahasa Melayu mendapat Gred A. Demikian juga yang gagal subjek sains dan matematik dalam klasifikasi kedua-dua Bahasa tersebut. Hasil daripada statistik ini, barulah boleh kita membuat kesimpulan.

Saya kira, usahlah kita berdegar-degar bercakap soal survival atau ketuanan melayu, kalau Bahasa Melayu yang menjadi identiti bangsa terus dilacur di bumi sendiri sehingga meninggalkan lompong yang besar di dalam kemajuan pendidikan anak bangsa kita.

Petikan:

http://nahdah.wordpress.com/2008/11/14/apabila-ppsmi-dikatakan-tidak-gagal/

p/s: Tuantulis tak pernah membantah atau menyokong. Tapi apa yang berlaku sekarang nampak isu pendidikan sekarang telah banyak dipolitikkan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: