Laman Informasi Isu Pendidikan Dan Prinsip Perakaunan

Tingkatan Satu MRSM

5,840 tempat disediakan untuk lulusan UPSR 2009

MARA menyediakan 5,840 tempat untuk lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memasuki Tingkatan Satu di 42 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara bagi sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengahnya, Md Rahim Salim, berkata mulai tahun ini semua permohonan kemasukan Tingkatan Satu dan Empat ke maktab berkenaan perlu dibuat secara online.

 

Beliau berkata, permohonan itu boleh dibuat menerusi laman web: http://www.mara.gov.my yang dibuka selepas keputusan UPSR tahun ini diumumkan hingga 3 Disember depan.

Katanya, untuk mengakses borang permohonan online itu, pemohon perlu mendapatkan nombor pin di pejabat Mara negeri dan daerah atau MRSM berhampiran pada waktu pejabat, bermula hari keputusan UPSR 2009 diumumkan.

Bagi mendapatkan nombor pin yang diedarkan secara percuma itu, katanya, pemohon diingatkan membawa bersama salinan surat beranak dan keputusan UPSR yang disahkan.

“Aspek lain permohonan kekal, antaranya syarat kelayakan 5A bagi pelajar Semenanjung Malaysia dan minimum 3A 2B termasuk gred A Sains dan Matematik untuk pemohon Sabah dan Sarawak.

“Namun permohonan bagi kemasukan ke MRSM tahun depan perlu dibuat secara online bermula hari keputusan UPSR diumumkan. Makluman iklan mengenainya akan disiarkan dalam akhbar, mulai 14 November ini,” katanya.

Md Rahim berkata, pelaksanaan permohonan secara online itu memudahkan ia diproses lebih awal, sekali gus membolehkan pelajar membuat semakan keputusan permohonan juga secara online, pada akhir Disember.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya membuat permohonan awal dan tidak menunggu menjelang tarikh tutup kerana dikhuatiri talian online sesak dan menghadapi kesukaran mengakses borang permohonan.

“Setiap tahun kami menerima lebih 20,000 permohonan daripada lepasan UPSR untuk memasuki MRSM dan jika kebanyakan calon menunggu saat akhir baru hendak memohon, pasti talian akan sesak dan menyulitkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, permohonan online juga dilaksanakan untuk kemasukan Tingkatan Empat bagi lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR), mulai 28 September hingga 25 Oktober lalu.

Katanya, seramai 15,300 pelajar mengambil nombor pin dan daripada jumlah itu 13,894 mengemukakan permohonan bagi mengisi 3,729 tempat Tingkatan Empat ditawarkan MRSM tahun depan.

“Hari pertama online dibuka berdasarkan keputusan percubaan mereka, hanya 213 permohonan diterima dan jumlah itu meningkat mendadak hingga 1,370 sehari menjelang tarikh tutup permohonan.

“Jika trend sama berlaku di kalangan lulusan UPSR yang jauh lebih ramai, dikhuatiri talian sesak dan menimbulkan salah anggapan bahawa berlaku kesilapan teknikal pada sistem permohonan, sedangkan puncanya adalah sikap suka menunggu saat akhir,” katanya.

Mengenai pengambilan pelajar Tingkatan Satu bagi mengikuti program (Agama) Ulul Albab di MRSM Kota Putra dan Gemencheh mulai tahun depan, Md Rahim berkata, ia membabitkan 180 pelajar setiap MRSM.

Katanya, sistem pendidikan MRSM Agama itu merangkumi Pengajian Al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab dan bahasa lain seperti Jepun dan Mandarin, selain subjek teras sedia ada.

Mengenai sambutan permohonan memasuki MRSM, Md Rahim berkata, jumlah tinggi saban tahun berbanding tempat disediakan mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan diamalkan institusi itu.

Antara pendekatan unik dilaksana maktab berkenaan, katanya, ialah memastikan pelajar menguasai kemahiran belajar sejak awal sebelum mereka didedahkan pembelajaran kurikulum.

“Antara lain, pelajar didedahkan kaedah mengambil nota dan menguasai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris pada peringkat awal memasuki MRSM.

“Contohnya, pembelajaran bahasa Inggeris pada semester pertama menerusi percakapan pelajar sepenuhnya dalam bahasa itu, di samping penilaian bagi memastikan mereka menguasai aspek komunikasi itu,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: