Laman Informasi Isu Pendidikan Dan Prinsip Perakaunan

Posts tagged ‘mrsm’

Tingkatan Satu MRSM

5,840 tempat disediakan untuk lulusan UPSR 2009

MARA menyediakan 5,840 tempat untuk lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memasuki Tingkatan Satu di 42 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara bagi sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengahnya, Md Rahim Salim, berkata mulai tahun ini semua permohonan kemasukan Tingkatan Satu dan Empat ke maktab berkenaan perlu dibuat secara online.

 

Beliau berkata, permohonan itu boleh dibuat menerusi laman web: http://www.mara.gov.my yang dibuka selepas keputusan UPSR tahun ini diumumkan hingga 3 Disember depan.

Katanya, untuk mengakses borang permohonan online itu, pemohon perlu mendapatkan nombor pin di pejabat Mara negeri dan daerah atau MRSM berhampiran pada waktu pejabat, bermula hari keputusan UPSR 2009 diumumkan.

Bagi mendapatkan nombor pin yang diedarkan secara percuma itu, katanya, pemohon diingatkan membawa bersama salinan surat beranak dan keputusan UPSR yang disahkan.

“Aspek lain permohonan kekal, antaranya syarat kelayakan 5A bagi pelajar Semenanjung Malaysia dan minimum 3A 2B termasuk gred A Sains dan Matematik untuk pemohon Sabah dan Sarawak.

“Namun permohonan bagi kemasukan ke MRSM tahun depan perlu dibuat secara online bermula hari keputusan UPSR diumumkan. Makluman iklan mengenainya akan disiarkan dalam akhbar, mulai 14 November ini,” katanya.

Md Rahim berkata, pelaksanaan permohonan secara online itu memudahkan ia diproses lebih awal, sekali gus membolehkan pelajar membuat semakan keputusan permohonan juga secara online, pada akhir Disember.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya membuat permohonan awal dan tidak menunggu menjelang tarikh tutup kerana dikhuatiri talian online sesak dan menghadapi kesukaran mengakses borang permohonan.

“Setiap tahun kami menerima lebih 20,000 permohonan daripada lepasan UPSR untuk memasuki MRSM dan jika kebanyakan calon menunggu saat akhir baru hendak memohon, pasti talian akan sesak dan menyulitkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, permohonan online juga dilaksanakan untuk kemasukan Tingkatan Empat bagi lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR), mulai 28 September hingga 25 Oktober lalu.

Katanya, seramai 15,300 pelajar mengambil nombor pin dan daripada jumlah itu 13,894 mengemukakan permohonan bagi mengisi 3,729 tempat Tingkatan Empat ditawarkan MRSM tahun depan.

“Hari pertama online dibuka berdasarkan keputusan percubaan mereka, hanya 213 permohonan diterima dan jumlah itu meningkat mendadak hingga 1,370 sehari menjelang tarikh tutup permohonan.

“Jika trend sama berlaku di kalangan lulusan UPSR yang jauh lebih ramai, dikhuatiri talian sesak dan menimbulkan salah anggapan bahawa berlaku kesilapan teknikal pada sistem permohonan, sedangkan puncanya adalah sikap suka menunggu saat akhir,” katanya.

Mengenai pengambilan pelajar Tingkatan Satu bagi mengikuti program (Agama) Ulul Albab di MRSM Kota Putra dan Gemencheh mulai tahun depan, Md Rahim berkata, ia membabitkan 180 pelajar setiap MRSM.

Katanya, sistem pendidikan MRSM Agama itu merangkumi Pengajian Al-Quran (Hafazan), Bahasa Arab dan bahasa lain seperti Jepun dan Mandarin, selain subjek teras sedia ada.

Mengenai sambutan permohonan memasuki MRSM, Md Rahim berkata, jumlah tinggi saban tahun berbanding tempat disediakan mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan diamalkan institusi itu.

Antara pendekatan unik dilaksana maktab berkenaan, katanya, ialah memastikan pelajar menguasai kemahiran belajar sejak awal sebelum mereka didedahkan pembelajaran kurikulum.

“Antara lain, pelajar didedahkan kaedah mengambil nota dan menguasai kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris pada peringkat awal memasuki MRSM.

“Contohnya, pembelajaran bahasa Inggeris pada semester pertama menerusi percakapan pelajar sepenuhnya dalam bahasa itu, di samping penilaian bagi memastikan mereka menguasai aspek komunikasi itu,” katanya.

PERMOHONAN KEMASUKAN KE MAKTAB RENDAH SAINS MARA (MRSM) TINGKATAN EMPAT TAHUN 2010

Permohonan adalah terbuka kepada pelajar tingkatan tiga warganegara Malaysia yang layak untuk kemasukan ke MRSM tingkatan empat tahun 2010.

A. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MASUK KE MRSM :
1. Mendapat sekurang-kurangnya 6A 2B (A dalam Matematik dan Sains)
dan tiada gred C, D atau E bagi subjek teras dalam PMR tahun 2009.
2. Mendapat markah yang tinggi dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) 2009.

B. UJIAN KECENDERUNGAN KEMASUKAN MRSM (UKKM) :
1. Pemohon akan menduduki UKKM pada bulan Disember 2009.
2. Tempat dan tarikh ujian akan dipilih oleh pemohon semasa mengisi borang permohonan online.
NOTA :
1. Keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah.
2. Hanya permohonan yang memenuhi syarat kelayakan sahaja akan dipertimbangkan.
3. Permohonan yang tidak lengkap tidak akan dipertimbangkan.
4. Pemohon yang tidak menduduki UKKM tidak akan dipertimbangkan.
5. MRSM menawarkan jurusan Sains Tulen sebagai jurusan utama.
C. SYARAT-SYARAT MEMOHON SECARA ONLINE :
1. Pelajar Bumiputera tingkatan tiga di Semenanjung Malaysia dan pelajar bukan Bumiputera
(tingkatan tiga yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan) di Semenanjung Malaysia.
2. Pelajar yang sedang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kementerian Pelajaran tidak dibenarkan memohon dan tidak akan ditawarkan ke MRSM.
3. Pemohon hendaklah lulus Peperiksaan Percubaan PMR 2009 di Sekolah Menengah Kebangsaan dengan memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam Subjek Matematik dan Sains.
D. CARA MEMOHON KATALALUAN :
1. Pemohon boleh mendapatkan katalaluan (secara percuma) di semua Pejabat MARA Negeri, Pejabat MARA Daerah atau Maktab Rendah Sains MARA mulai 28 September 2009. Pemohon boleh mengisi borang permohonan online mulai tarikh tersebut.
2. Sila bawa salinan kad pengenalan, surat beranak serta angka giliran dan keputusan Peperiksaan Percubaan PMR 2009 , yang disahkan benar, semasa mendapatkan katalaluan.
3. Pemohon mestilah mengisi semua maklumat yang diperlukan di dalam borang permohonan online serta memastikan borang tersebut dihantar secara online.
4. Pemohon mestilah menghantar cetakan borang serta dokumen yang berkaitan ke alamat di bawah:
(Permohonan Ke Tingkatan 4)
Pengarah,
Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah),
Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA,
Jalan Raja Laut,
50609 KUALA LUMPUR.

E. TARIKH TUTUP PERMOHONAN :
1. Borang permohonan online yang telah lengkap diisi hendaklah dihantarkan selewat-lewatnya pada 25 Oktober 2009.
2. Pemohon boleh menyemak keputusan ke MRSM pada bulan Februari 2010. Sekiranya pemohon tidak menerima sebarang jawapan sehingga 30 April 2010 permohonan anda dianggap tidak berjaya.

sumber:MARA

Klik sini untuk permohonan

P/S: Tuantulis menerima banyak pertanyaan berkaitan dengan Permohonan ke MRSM, jadi diharap info ini dapat memberi sedikit gambaran dan maklumat.

Semakan Online MRSM Tingkatan Satu & Empat 2009 – Minggu Akhir Januari

Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin berkata, MARA menerima 16,750 permohonan untuk mengisi 6,839 tempat Tingkatan Empat yang disediakan di sebanyak 41 MRSM tahun ini dan mereka boleh menyemak permohonan pada minggu akhir bulan ini.

Bagi pengambilan pelajar Tingkatan Satu di MRSM pula, MARA menerima 25,097 permohonan bagi mengisi 5,330 tempat.

“Tahun ini dua MRSM baru akan dibuka bagi pengambilan pelajar Tingkatan Satu, iaitu MRSM Betong, sarawak; dan MRSM Bentong, Pahang.

“Selain itu, MRSM Kota Putra di Besut, dipilih MRSM Agama pertama melaksanakan konsep Ulul Albab dengan pengambilan pelajar baru Tingkatan Satu pada 19 Februari,” katanya.

(Sumber: Kenyataan akhbar: 7/1/2009)