Laman Informasi Isu Pendidikan Dan Prinsip Perakaunan

ipin02Date: 23 Feb 2004
Publication: Berita Harian

PERAKAUNAN adalah ibu segala industri dan perniagaan. Semua jenis perniagaan memerlukan kepakaran dalam bidang kewangan dan perakaunan, menjadikan ia prospek kerjaya yang cerah. Di kalangan pelajar dan pekerja perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) iaitu badan perakaunan profesional bukanlah satu nama asing. Malah, kelayakan profesional ini memang dihormati kerana standard dan kualitinya yang sangat tinggi.

$6.00 Welcome Survey After Free Registration!

Untuk menjadi seorang akauntan bertauliah, antara kriteria penting ialah mempunyai kelayakan perakaunan profesional seperti ACCA, bukan sekadar memiliki ijazah. Antara faktor yang menjadikan ACCA sebagai pilihan kebanyakan pelajar yang bercita-cita menjadi akauntan ialah ia diiktiraf di seluruh dunia. Pengurus Komunikasi Korporat ACCA, Adelina Iskandar berkata, ACCA diiktiraf oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai asas kepada kelayakan profesional perakaunan antarabangsa, membolehkan ahli ACCA memiliki mobiliti profesional di peringkat dunia.

“Reputasi ACCA memang amat dikenali di seluruh dunia. Hingga kini, ACCA mempunyai hampir 300,000 ahli dan pelajar di seluruh dunia. Kita akan berusaha mengekalkan pencapaian ini terutama dengan kehadiran sambutan 100 tahun ulang tahun penubuhan ACCA pada tahun ini,” katanya. Selain itu, sukatan pembelajaran ACCA sangat relevan dan mempunyai gabungan ilmu dan pengalaman praktikal, sesuai untuk bakal akauntan dan profesional dalam bidang kewangan.

“ACCA sentiasa meneliti dan mengemaskini sukatan pembelajaran agar ia sentiasa relevan dan praktikal untuk dunia perniagaan dan perdagangan masa kini. Kita sentiasa mendapat maklum balas terkini daripada pihak majikan di seluruh dunia dalam mengemas kini sukatan agar kekal relevan. Inilah antara teras utama kejayaan ACCA,” kata Adelina. ACCA juga menyediakan peluang pembelajaran yang fleksibel dan menerusi internet bagi memudahkan pelajar untuk menyesuai kaedah pembelajaran masing-masing mengikut cara hidup yang berbeza. Pelajar boleh memilih kaedah pembelajaran penuh atau separuh masa, belajar secara internet atau di kelas-kelas, pilihan jangka waktu yang sesuai dan sebagainya.

Bagi yang berminat mengambil ACCA, mereka boleh bermula selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT) iaitu program menyeluruh yang memperkenalkan asas perakaunan kepada pelajar. Program ini sesuai untuk semua termasuk mereka yang langsung tidak mempunyai latar belakang perakaunan. Adelina berkata, selepas lulus CAT, pelajar akan layak mendapat pengecualian untuk Bahagian Pertama Kursus Profesional ACCA dan meneruskan pengajian ke Bahagian Kedua. Justeru, pelajar boleh lulus program ACCA dalam masa tiga tahun saja dan boleh terus mendapatkan pengalaman bekerja.

“Dengan cara ini ada pelajar yang mula bekerja seawal umur 21 tahun. Dengan kelayakan ACCA, pelajar diiktiraf untuk diambil bekerja oleh majikan tanpa perlu ada ijazah dalam bidang perakaunan,” katanya. Prospek kerjaya seorang akauntan tidak hanya tertumpu kepada menjadi akauntan. Malah, kemahiran kewangan dan perakaunan amat diperlukan untuk memastikan kejayaan sesebuah organisasi. Kini, ramai akauntan yang menjadi CEO berjaya.

Antara ahli ACCA yang berjaya ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Asia, Tony Fernandez; CEO UEM, Datuk Abdul Wahid Omar dan CEO Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Mohd Nasir Ahmad. Dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020, Malaysia memerlukan kira-kira 60,000 akauntan bertauliah. Mengikut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Accountant pada 31 Mac tahun lalu, negara hanya mempunyai 18,186 akauntan bertauliah. Ini bermakna masih ada kekurangan kira-kira 48,000 akauntan bertauliah dalam tempoh hanya 17 tahun lagi menjelang tahun 2020.

Untuk keterangan lanjut mengenai kelayakan profesional ACCA sila layari laman web www.accaglobal.com atau e-mel kepada info@my.accaglobal.com.

Tinggalkan komen